Monday 6 May 2013

PERANCANGAN EJAAN RUMI DI TANAH MELAYU


Sebelum kedatangan Islam, bahasa Melayu telahpun mempunyai tradisi tulisan, iaitu tulisan Kawi, Batak, Lampung dan Rencong. Malah sistem tulisan ini agak maju dan menggunakan lambang suku kata dan lambang baris untuk menunjukkan perbezaan-perbezaan bunyi.  Malangnya, sistem jawi ini agak merosot kemudiannya apabila masyarakat kita disogokkan dengan Sistem Ejaan Rumi oleh penjajah barat. Disamping itu, kemudahan cetak dan penerbitan membuatkan ejaan rumi menjadi lebih praktis daripada mana-mana sistem lain.
               Pada kurun ke-19 dan awal kurun ke-20, usaha menulis bahasa Melayu dengan menggunakan huruf Rumi pula dijalankan oleh beberapa orang sarjana Eropah secara perseorangan. Mereka menjalankan kajian terhadap tatabahasa dan nahu bahasa Melayu. Sebenarnya usaha-usaha ini tidaklah dapat dikatakan sempurna, dan ada beberapa kelemahannya. Sarjana Inggeris yang mula-mula sekali membincangkan soal ejaan  bahasa Melayu ialah William Marsden (1912) dalam bukunya yang bertajuk A Grammar Of The Malayan Languange. Dalam kajiannya, The Evolution of The Malay Spelling, W.G. Shellabear membuat kajian mengenai beberapa naskah surat yang ditulis antara tahun 1600-1650 di Acheh, dan menghasilkan satu sistem ejaan rumi. Usaha yang lebih teratur dilakukan oleh Jabatan Pelajaran Di Negeri Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1902, dengan membentuk sebuah Jawatankuasa Ejaan yang dipengerusikan oleh R.J.Willkinson, Nazir Sekolah-Sekolah pada masa itu. Tugas jawatankuasa itu ialah mengkaji dan membentuk sebuah Sistem Ejaan Rumi. Sistem ejaan yang dihasilkan dikenali juga sebagai Ejaan Willkinson yang digunakan didalam kamusnya.

**ASSIGNMENT FONOLOGI SEMESTER 5**

SEJARAH SISTEM EJAAN BAHASA MELAYU DI MALAYSIA DAN INDONESIA


Sistem Ejaan Rumi mula diperkenalkan oleh pihak orientalis Inggeris yang menyusun aturan ejaan Rumi berdasarkan kaedah transliterasi daripada ejaan Jawi pada pertengahan abad ke-19. Sistem transliterasi huruf Jawi kepada huruf Rumi menurut kaedah bahasa Inggeris yang diiktiraf sebagai sistem ejaan Rumi bagi kegunaan rasmi dalam urusan Kerajaan Malaya pada masa itu antaranya termasuklah Ejaan Rumi Negeri-Negeri Selat (dilaksanakan pada tahun 1878), Ejaan Rumi Maxwell (dilaksanakan pada tahun 1882) dan Ejaan Rumi Swettenham (1881).
               Ada dua jenis tulisan bagi bahasa Melayu, iaitu (i) Tulisan Jawi, dan (ii) Tulisan Rumi. Tulisan Jawi berasaskan huruf Arab alif-ba-ta, dan tulisan Rumi berasaskan huruf roman a-b-c. Aturan ejaan bagi tulisan Jawi ini yang digunakan dalam bahasa Melayu sekarang ialah Sistem Ejaan Jawi Yang Disempurnakan yang disahkan penggunaannya bermula pada tahun 1996. Aturan ejaan bagi tulisan Rumi yang digunakan dalam bahasa Melayu mutakhir pula ialah Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Malaysia (selanjutnya disebut SERBBM) yang dirasmikan penggunaannya pada 16 Ogos 1972. Sistem ini merupakan Aturan Ejaan Rumi Bersama Bagi Bahasa Melayu Di Malaysia dan Bahasa Indonesia, iaitu sistem yang berasaskan aturan ejaan yang dirumuskan oleh Jawatankuasa Ejaan (Rumi) Bersama pada tahun 1967.
               Perkembangan dalam sistem ejaan adalah sebahagian daripada perkembangan dalam bahasa Melayu di Tanah Melayu dan di Kepulauan Timur Belanda. Keperluan kepada Sistem Ejaan Rumi menjadi penting pada awal abad ke-20 kerana ejaan Jawi tidak dapat menggambarkan sistem bunyi bahasa Melayu yang sebenar bagi mereka yang tidak dapat memahaminya. Ianya menjadi lebih penting apabila bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar dalam sistem sekolah rendah atau sekolah dasar. Oleh itu, penyusunan satu Sistem Ejaan Rumi yang seragam dan lebih mudah diperlukan untuk menggantikan tulisan Jawi pada masa itu. Bagaimanapun, pengkajian tentang sistem bunyi bahasa Melayu sering dikelirukan dengan pengkajian tentang sistem tulisan dan sistem ejaan. Grafem-grafem atau huruf-huruf yang berbagai-bagai yang digunakan sebagai lambang bagi bunyi-bunyi dalam bahasa Melayu, termasuk bunyi-bunyi serapan atau pinjaman daripada bahasa Sanskrit, Arab dan Parsi yang ketidakseragaman dalam ejaan.
               Pada tahun 1902, Perancangan Ejaan Yang Pertama Di Tanah Melayu dimulakan apabila kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu mengambil inisiatif menubuhkan sebuah jawatankuasa ejaan yang diketuai oleh R.J.Wilkinson, Nazir Sekolah-sekolah pada masa itu. Sistem ejaan yang dikenal sebagai “Ejaan Wilkinson”  itu dirumuskan dengan nama Romanised Malay Spelling dan diterbitkan pada bulan Oktober 1904 dalam bentuk sebuah laporan. Ejaan Wilkinson digunakan di semua sekolah umum.
               Pakatan Belajar-Mengajar Bahasa yang ditubuhkan pada tahun 1888 di Johor telah memainkan peranan untuk menggalakkan penggunaan bahasa Melayu di sekolah dan dalam masyarakat. Usaha ini telah diteruskan dengan penubuhan Maktab Guru Perempuan di Melaka pada tahun 1900. Institusi-institusi inilah yang menjadi Pengasas Perancangan Penggunaan Bahasa Melayu Baku yang kemudiannya diperkembang oleh Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) di Tanjong Malim sejak tahun 1922. Perkembangan dan pemantapan sistem ejaan Rumi berlaku seiring dengan perkembangan bahasa Melayu dalam pendidikan dalam zaman penjajahan itu. Beberapa buah buku bahasa dalam tulisan Rumi dan tentang tulisan Rumi yang memperluas penggunaan sistem Ejaan Sekolah yang berasaskan Ejaan Wilkinson telah disusun dan diterbitkan oleh beberapa orang tokoh bahasa dan pendidik di SITC.
               Sistem ejaan Rumi yang terkenal sebelum penggunaan sistem ejaan baru tahun 1972 ialah “Sistem Ejaan Rumi Za’ba” yang juga dihasilkan daripada SITC. Sistem Ejaan Rumi Za’ba disusun dan diperkemas dan terdapat dalam beberapa buah buku Pedoman Bahasa terbitan Pejabat Karang Mengarang SITC.
               Selain daripada Sistem Ejaan Za’ba, dalam zaman pendudukan Jepun tahun 1942-1945, terdapat penggunaan “Ejaan Fajar Asia”. Ianya berbeza sedikit daripada Ejaan Za’ba di Tanah Melayu dan Ejaan Van Ophuyjsen di Indonesia. Angkatan Sasterwan 50 yang ditubuhkan sekitar bulan Ogos 1950 kemudiannya menjadikan Ejaan Fajar Asia ini sebagai ejaan rasmi mereka. Tujuan penubuhan angkatan ini adalah untuk menyedarkan masyarakat tentang perpaduan kebangsaan dan menganggap kemerdekaan sebagai jambatan kearah keadilan dan keamanan masyarakat. Selain daripada itu, terdapat juga “ Ejaan Bebas” yang berupa ejaan Rumi tanpa sistem apa-apa, atau sistem yang menyatukan ciri-ciri ejaan daripada sistem-sistem yang ada, termasuk daripada sistem ejaan di Indonesia. Ejaan Bebas digunakan dengan agak meluas dalam urusan bukan rasmi dan dalam beberapa penerbitan akhbar, majalah dan buku.
               Penggunaan pelbagai sistem atau aturan ejaan Rumi di Tanah Melayu dan Singapura menunjukkan adanya kekurangan dalam Sistem Ejaan  Za’ba dan ketidakpuasan pengguna terhadap sistem itu. Pada tahun 1956, hasil daripada rumusan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-3 yang diadakan di Singapura, wujud pula “ Sistem Ejaan Kongres”. Perubahan-perubahan seperti ini juga berlaku di Indonesia. Dengan ini dapat dikatakan bahawa kedua-dua buah negara mengalami perubahan sistem ejaan dari semasa ke semasa. Perbezaan ejaan yang wujud di Indonesia adalah menurut sistem ejaan cara Belanda sementara di Tanah Melayu, lebih kepada cara Inggeris. Perbezaan ejaan yang wujud ini telah mendapat perhatian ahli-ahli bahasa di kedua-dua buah negara untuk mengkaji dan menyemak semula sistem ejaan yang digunakan (Ahmad Hafiz Wahy et, 2005). Secara tidak langsung proses penyatuan dan penyamaan sistem ejaan kedua-dua negara dapat dilakukan.
               Beberapa pembaharuan yang agak radikal telah diusahakan oleh ahli-ahli bahasa berdasarkan rumusan-rumusan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-3. Usaha-usaha ini mendapat perhatian kerajaan dan pada tahun 1957, sebuah Jawatankuasa Ejaan telah dibentuk untuk menimbangkan ketetapan-ketetapan yang telah diambil dalam kongres tersebut berkenaan dengan ejaan Rumi dan penyatuannya dengan ejaan bahasa Indonesia.
               Soal ejaan melangkah ke peringkat antarabangsa apabila satu perjanjian persahabatan di antara Persekutuan Tanah Melayu dengan Republik Indonesia tercapai pada 17 April 1959. Kemudian, satu rundingan telah diadakan di Jakarta diantara Jawatankuasa Ejaan Rumi Persekutuan Tanah Melayu yang diketuai oleh Allayarham Syed Nasir bin Ismail dengan Panitian Pelaksanaan Kerjasama Bahasa Melayu-Bahasa Indonesia yang dipimpin oleh Dr. Slamet Muljana (Ahmad Hafiz Wahy et, 2005). Hasil daripada pertemuan ini, wujudlah pula “Ejaan Malindo” akibat pergolakan politik perkembangan selanjutnya tidak berlaku sehinggalah pada tahun 1966 apabila rundingan kali ke-2 telah diadakan untuk mengkaji dan memperbaiki Ejaan Malindo.
               Pada 23 Mei 1972, satu Kenyataan Bersama telah ditandatangani oleh Menteri Pelajaran Malaysia pada masa itu, iaitu Allahyarham Tun Hussin Onn Dan Menteri Pendidikan Dan Kebudayaan Republik Indonesia, Bapa Mahsuri. Kenyataan Bersama tersebut mengandungi persetujuan untuk melaksanakan asas yang telah dipersetujui oleh para ahli daripada kedua-dua negara tentang Ejaan Baru dan Ejaan Yang Disempurnakan. Puncak daripada segala kegiatan penyempurnaan sistem Ejaan Rumi ialah perumusan-perumusan dan pelaksanaan bersama Sistem Ejaan Baru bagi bahasa Melayu dan bahasa Indonesia pada 16 Ogos 1972. Ejaan Baru Bersama ini dirujuk sebagai Ejaan Rumi Bersama (ERB) yang diguna hingga kini.


**ASIGNMENT  FONOLOGI SEMESTER 5**