1- PENGENALAN KAUNSELING
KELOMPOK
Kaunseling Kelompok adalah satu proses antara individu (interpersonal process)
yang melibatkan seorang kaunselor dengan beberapa orang ahli atau klien yang
meneroka diri serta situasi yang dialami. Jadi proses ini menekankan pemikiran
yang sedar, dari segi perasaan dan kelakuan. Tujuan kaunseling kelompok ini
adalah untuk memperbaiki tingkah laku klien yang tidak mengikut norma-norma
kehidupan yang tidak berkesan atau tidak mendatangkan faedah. Mengikut Corey
(1990), kaunseling kelompok bertujuan mencegah serta memulih . Hansen et. al
(1976), tujuan mencegah klien dari mengulangi tingkahlaku yang tidak diingini
daripada berterusan. Dapat mengatasi masalah yang dihadapi sebelum masalah
tersebut menjadi “serius”. Tujuan memulih pula adalah bagi klien yang sedang
mengalami masalah yang “serius” di mana kaunseling kelompok merupakan satu
proses intervensi untuk menukar kelakuan .
Kaunseling kelompok berorientasikan masalah yang spesifik, sama ada masalah itu
masalah pembelajaran, kerjaya, sosial atau emosi. Isi dan fokus perbincangan
dalam kelompok sebahagain besarnya ditentukan oleh klien yang terdiri daripada
individu yang normal (dapat berfungsi dengan sepenuhnya). Masalah-masalah yang
sering di bawa ke dalam kelompok ialah berkaitan dengan tugas perkembangan
dalam hidup seharian. Fungsi kaunseling kelompok ini serta klien adalah memberi
sokongan dan empati yang diperlukan untuk menimbulkan suasana yang selamat dan
menyembuh yang membawa kepada kepercayaan ahli berkongsi maklumat dan perasaan
ke arah menimbulkan celik akal, membaiki sikap serta perlakuan.
Teori–teori kaunseling kelompok adalah “guidelines” yang digunakan supaya proses
kaunseling yang dijalankan mendatangkan hasil yang baik atau efektif. Hansen et
al (1976), “ each theory proposes a process whereby the counselor and group can
participate in the process of changing the member’s behavior”.Dalam menjalankan
sesi, kaunselor perlulah mematuhi beberapa etika demi matlamat yang hendak
dicapai.
2- DEFINISI ETIKA KAUNSELING KELOMPOK
Etika berasal daripada perkataan Yunani, iaitu ethos yang bermaksud hukum, adat
resam, kebiasaan dan budi pekerti. Dengan kata lain etika merupakan sesuatu
yang berkaitan dengan peraturan masyarakat yang terdiri dari tatahukum,
tatasusila atau tatatertib masyarakat. Peraturan masyarakat biasa juga
dimaksudkan dengan tradisi, norma, kebiasaan atau adat, kod, nilai dan pantang
larang masyarakat. Peraturan masyarakat wujud di luar diri individu. Peraturan
itu juga bersifat konkrit serta ditetapkan oleh autoriti dalam sesebuah
masyarakat.
Menurut Kamus Dewan DBP (Edisi Ketiga, 2002), etika adalah prinsip atau nilai
akhlak yang menjadi pegangan seseorang atau dengan kata lain garis panduan yang
harus dipatuhi oleh seseorang semasa menjalankan tugas mereka.
Etika (dalam Abdul Rahman Md. Aroff, 1999) adalah disiplin falsafah yang
memberi perhatian khusus kepada penilaian kritikal terhadap norma dan piawai
yang mewajarkan kelakuan persaorangan serta antara individu. Durkheim (1961)
pula menyatakan bahawa etika terdiri daripada suatu sistem peraturan yang telah
ditentukan terlebih dahulu tentang bagaimana seseorang itu mesti bertindak
dalam situasi tertentu.
Etika adalah suatu tindakan yang menuntut kepatuhan terhadap piawaian
profesional serta undang-undang tentang apa yang dianggap betul dan yang salah.
Menurut Othman Mohamed (1999), kod etika merupakan tatasusila yang menentukan
peraturan kawalan diri terhadap praktis yang dijalankan oleh ahli sesuatu
profesion. Ianya merupakan standard asas bagi mencerminkan satu praktis
profesional.
Etika juga boleh membawa maksud yang berlainan tetapi saling berhubungan di
antara satu dengan yang lain, iaitu ;
1) pola hidup am atau suatu cara hidup
2) set peraturan tingkah laku atau kod moral
3) tatacara mengenai cara hidup atau peraturan tingkah laku.
Daripada beberapa definisi di atas, dapatlah disimpulkan bahawa etika mengkaji
tingkah laku manusia sama ada patut atau tidak manusia bertingkah laku
(bagaimana seharusnya manusia bertingkah laku). Etika melibatkan peraturan
masyarakat yang didasarkan norma-norma dan nilai-nilai yang baik di dalam
sesebuah masyarakat itu. Oleh itu mematuhi kod etika dianggap penting bai
membantu membuat keputusan dalam pengendalian kelompok.
3- KEPENTINGAN ETIKA KAUNSELING KELOMPOK
Setiap profesion yang melibatkan interaksi antara individu, memerlukan satu
bentuk peraturan atau etika yang tersendiri bagi keperluan ahli-ahlinya. Begitu
juga di dalam kaunseling kelompok, etika memainkan peranan yang penting sebagai
satu garis panduan atau peraturan untuk menjaga profesionalisma kaunselor,
kepentingan ahli kelompok serta perjalanan kelompok itu sendiri.
Pandangan yang diberikan oleh Swanson & Van Hoose (1977) yang menyatakan,
“Standard or code of ethics are designed to protect the public and also to give
guidelines to practitioner so that difficulty with the law may be avoided by
the person who follow the profesion’s code”, menguatkan lagi fakta di atas.
Di antara-antara kepentingan-kepentingan itu ialah;
1) memberi perlindungan kepada ahli dalam profesion kaunseling daripada
sebarang tindakan yang boleh menyebabkan “ public condemnation”( penghinaan
masyarakat).
2) Memberi perlindungan kepada klien daripada sebarang tindakan atau layanan
yang tidak profesional, atau kecuaian pihak kaunselor.
3) Sebagai pengukur kepada “self-regulation” dalam profesion itu sendiri.
4) Melindungi kaunselor daripada tindakan undang-undang sekiranya berlaku
perkara-perkara yang tidak diingini bukan disebabkan oleh kesalahan kaunselor
itu sendiri.
5) Mempertingkatkan keberkesanan diri melalui perkongsian pengetahuan dan
kemahiran selaras dengan tuntutan dan kesedaran pihak klien berkaitan hak
mereka dalam undang-undang.
4- ETIKA DALAM KAUNSELING KELOMPOK
4.1- Pandangan Tokoh-Tokoh:
Etika kelompok diolah mengikut keperluan sesuatu kelompok. Menurut Gazda
(1977), adalah penting bagi ketua kelompok untuk mengolah satu model bagi
mencapai perubahan tingkah laku. Tambah beliau lagi, bila sesi dirakamkan ahli
patut diberitahu yang mereka boleh memberhentikan rakaman bila-bila masa jika
mereka merasakan ini menyekat penglibatan mereka.
Bagi Feignberg (1977) pula, etika dalam kaunseling kelompok di mana ketua
kelompok harus mempunyai latihan yang cukup dalam teori dan prosedur kelompok.
Mereka juga harus sedar tentang kepelbagaian kesan yang mungkin timbul daripada
prosedur dan proses kelompok.
Memberikan pandangannya, Bindrim (1977) menyatakan menjadi satu polisi yang
wajar jika ketua meminta ahli menandatangani satu perjanjian yang memerlukan
mereka bersetuju supaya tidak berbincang atau menulis tentang perkara-perkara
yang berlaku dalam kelompok atau mendedahkan identiti ahli lain.
4.2- Kelayakan Pemimpin Kelompok:
Pemimpin kelompok mestilah mempunyai kelayakan profesional serta pengalaman
yang diperlukan sesuai mengikut kelompok yang mereka pimpin. Pemimpin
seharusnya seorang yang teraputik, cekap dan berkesan serta bersedia untuk
dicabar dan diuji untuk mendapatkan kepercayaan.
Pemimpin kelompok juga mesti mempunyai fokus yang jelas terhadap tujuan dan
matlamat kelompok, memilih kaedah-kaedah yang sesuai dan mampu mengendalikan
aktiviti-aktiviti sepanjang perjalanan kelompok bagi mencapai tujuan dan
matlamat sesuatu kelompok itu.
Pemimpin kelompok mestilah bijak mengendalikan kelompok. Seandainya terdapat
sebarang bentuk pertentangan di dalam kelompok, contohnya desakan kelompok yang
bercanggah dengan kehendak ahli-ahl lain, pemimpin perlulah peka dan bertindak
bijak mengatasi isu tersebut. Seandainya ada ahli yang menjadi sasaran di dalam
kelompok, pemimpin haruslah berani campur tangan.
Sebagai pemimpin kelompok, perlulah turut melakukan aktiviti-aktiviti yang
dilakukan oleh ahli-ahli kelompok sebagai sokongan kepada kelompok untuk
melakukan perkara itu dengan penuh yakin dan berani. Pemimpin juga harus faham
tentang nilai-nilai dalam kelompok dan sedar bahawa nilai-nilai itu adalah
selaras dengan etika profesionnya.
Etika dalam kaunseling kelompok juga melibatkan tanggungjawab yang dituntut
daripada seorang ahli profesional seperti kaunselor atau pemimpin kepada
kelompok yang spesifik seperti orang-orang yang memerlukan bantuan atau sesuatu
khidmat dari pemimpin tersebut. Menjadi tanggungjawab pemimpin kelompok untuk
memaklumkan kepada bakal ahli kelompok tentang prosedur dan matlamat kelompok,
peraturan kelompok, teknik-teknik yang akan digunakan, harapan ahli, risiko
psikologikal dan faktor lain yang boleh mempengaruhi mereka dalam membuat keputusan
untuk melibatkan diri dengan kelompok.
Ahli kelompok seharusnya bersedia mentafsirkan pembelajaran mereka dalam
kelompok dengan kehidupan seharian mereka dan menggunakannya dengan berkesan.
Jesteru itu etika kaunseling kelompok berkait rapat dengan prinsip-prinsip
akhlak dan moral yang perlu ada pada kaunselor semasa sesi kaunseling
dijalankan. Semasa sesi perjanjian dijalankan satu perjanjian bertulis perlu
dimenterai antara ahli dengan kaunselor. Prosedur ini penting kerana melindungi
hak-hak ahli dan juga kaunselor.
Pemimpin kelompok seharusnya berusaha menggendalikan sesi kelompok dan
seterusnya menilai kesan bagi kelompok pimpinannya. Proses susulan di dalam
kelompok adalah penting kerana ia merupakan satu aspek akauntabiliti pemimpin
kelompok. Melalui proses ini juga akan mendorong ahli kelompok untuk meneruskan
tingkah laku positif yang mereka pelajari dalam kelompok setelah mengetahui
adanya proses susulan setelah tamat sesi kelompok.
Akhirnya, pemimpin kelompok perlu berwaspada dengan tanda-tanda kelemahan
psikologikal ahli kelompok seperti ahli menangis sepanjang masa berada di dalam
kelompok, ahli seperti dalam keadaan celaru serta tertekan (berada dalam
dunianya yang tersendiri), ahli berdiam diri sepanjang masa dalam kelompok dan
tanda-tanda psikologikal lain. Ini menandakan penglibatan mereka di dalam
kelompok harus di tamatkan.
Adalah tidak beretika mengamalkan kaunseling tanpa persediaan yang rapi
American Group Psychotherapy Association dan Association for Specialists in
Group Work (ASGW), menggariskan secara terperinci, piawaian terbaik bagi
latihan yang diperlukan oleh kaunselor.
4.3- Kerahsiaan:
Kerahsiaan merupakan salah satu etika di dalam kelompok yang perlu
dititikberatkan. Ahli-ahli perlu mendapat makluman tentang kerahsiaan di dalam
kelompok, seawal waktu penstrukturan, semasa sesi berjalan dan apabila kelompok
berakhir. Maklumat kelompok tidak akan diberitahu kepada mana-mana pihak
melainkan setelah mendapat kebenaran dan persetujuan kelompok demi kebaikan
kelompok sendiri.
Selain daripada itu identiti setiap ahli dalam kelompok hendaklah dirahsiakan
dan menjadi tanggungjawab ke atas semua ahli (Kod Etika Kaunselor, 2005)
5- ISU-ISU DALAM KAUNSELING KELOMPOK
Proses kaunseling kelompok akan menjadi lebih bermakna dan sangat berkesan
sekiranya proses tersebut dapat berjalan mengikut nilai, norma dan tingkah laku
yang diterima dalam persekitaran masyarakat. Peterson (1970). Satu Sistem etika
adalah menjadi panduan berdasarkan nilai-nilai yang biasa dipegang dan dihargai
oleh masyarakat. Kaunseling kelompok juga dapat membantu ahli mencapai matlamat
dan tujuan yang telah digariskan bersama dengan ahli kelompok dalam menentukan
hala tuju dan matlamat yang hendak dicapai dalam persetujuan bersama.
Namun walaubagaimanapun terdapat halangan-halangan yang menyebabkan proses ini
tidak dapat dilaksanakan seperti yang diharapkan. Ini adalah disebabkan isu-isu
yang wujud dalam kaunseling kelompok yang boleh memberi kesan yang buruk atau
pengalaman yang ngeri terhadap ahli sekaligus mencemar nilai kepercayaan dan
penerimaan ahli terhadap kaunseling kelompok.
Selain itu juga isu-isu yang wujud dalam kaunseling kelompok akan memberi kesan
yang lebih mendalam kerana bukan seorang ahli yang akan mengalami trauma atau
tekanan tetapi ramai, kerana jumlah ahli dalam kelompok adalah lebih daripada
satu. Maka sudah tentu akan memburukkan lagi pandangan masyarakat terhadap
kaunseling kelompok serta menghilangkan nilai kepercayaan masyarakat terhadap
kaunseling kelompok.
5.1- Pemimpin Kelompok:
Antara isu-isu yang terdapat dalam kelompok ialah isu melibatkan kepimpinan.
Isu ini secara keseluruhannya melibatkan tahap kredibiliti yang dimiliki oleh
pemimpin atau kaunselor yang bertindak sebagai ketua atau penggerak utama dalam
proses kaunseling kelompok. Tidak kira apa jenis kelompok yang dipimpin, apa
pendekatan yang digunakan atau apa gaya kepimpinan yang dilaksanakan dalam
kaunseling kelompok, kejayaan kelompok sangat bergantung kepada pemimpin yang
mengetuai kelompok tersebut.
Terdapat pelbagai permasalahan atau persoalan yang ditimbulkan tentang
pemimipin kelompok sama ada dari segi latihan yang diperoleh, kelayakan yang
dimiliki, kecekapan dan pengalaman pemimpin dalam menerajui sesuatu kelompok.
Disamping itu juga isu kepimpinan ini mengukur tahap kemampuan pemimpin dalam
menguasai masalah yang diketengahkan dalam kelompok.
Ini antara isu yang dikaitkan dengan pemimpin dalam kelompok. Adalah menjadi
tanggungjawab pemimpin dalam memimpin ahli kelompok mencapai matlamat yang
telah dipersetujui bersama tanpa wujud perkara yang bercanggah dengan nilai dan
norma persekitaran masyarakat. Rosenbaum (1972). Bakal ketua perlu diberitahu
tentang beberapa jenis kelompok dalam proses pengajaran yang formal dan perlu
mendapat peluang untuk mengolah teori sendiri yang rasional dan praktikal.
5.2- Keahlian Kelompok:
Selain itu juga isu keahlian dalam kelompok merupakan sesuatu yang perlu dititi
beratkan. Ini kerana kejayaan kelompok dalam mencapai matlamatnya sangat
bergantung kepada ahli-ahli yang terlibat dalam sesuatu kelompok. Ini
menunjukkan pemilihan ahli dalam kelompok mestilah mengikut klasifikasi jenis
kelompok yang hendak dilaksanakan dan kaedah kepimpinan yang akan digunakan
oleh pemimpin dalam mengendalikan kelompok tersebut.
Bagi menentukan pemilihan ahli kelompok adakah menjadi tanggungjawab pemimpin
untuk membuat pemilihan ahli kelompok. Tidak kira apa jenis kelompok yang
hendak ditubuhkan, pemilihan ahli mesti mengikut klasifikasi jenis kelompok
yang hendak dikendalikan oleh pemimpin . The American Psychological Association
(APA) dalam Guidelines for Psychologists Conducting Growth Group (1973)
mencadangkan “Satu temu bual menapis peserta harus dijalankan oleh ketua
kelompok sebelum individu diterima menjadi ahli. Adalah menjadi tanggungjawab ketua
menapis dan menolak mereka yang memikirkan bahawa pengalaman kelompok tidak
sesuai bagi mereka”. Cadangan ini dipersetujui oleh Gazda (1977) dan menambah,
proses menapis patut diolah untuk memastikan peserta faham apa yang diharapkan
daripada mereka dan menerima yang mungkin menikmati faedah yang lebih daripada
pengalaman kelompok. Yalom (1975) menyatakan, jika penapisan pemilihan ahli
kelompok tidak dijalankan dengan teliti, ahli itu boleh meninggalkan kelompok
dengan perasaan hampa dan tawar hati. Yalom menerangkan bahawa lebih mudah
mengenal pasti individu yang sesuai.
Maka jelas tanggungjawab terhadap ketua untuk memilih ahli bagi sesuatu
penubuhan sesuatu kelompok bertujuan mengelakkan berlakunya konflik sesama ahli
menyebabkan proses atau sesi tidak dapat dijalankan dan wujud gangguan-gangguan
yang menyebabkan timbulnya isu dalam kelompok sekaligus menyekat proses
kelompok. Ahli juga perlu dinyatakan kenapa dan mengapa pemilihan ahli perlu
dilakukan sebelum kelompok ditubuhkan.
5.3- Kerahsiaan Kelompok:
Kerahsiaan merupakan faktor yang perlu dititikberatkan dan perlu diberi
penjelasan yang terperinci atau mendalam kepada ahli kelompok semasa peringkat
penstrukturan dilakukan. Ini kerana kerahsiaan dalam kaunseling kelompok sangat
sukar untuk dikawal kerana jumlah ahli yang ramai, sudah tentunya pemimpin
tidak dapat memberi jaminan terhadap kerahsiaan dalam pelaksanaan kelompok.
Olsen (1971) menyatakan “Ketua kelompok boleh menjamin kerahsiaan untuk dirinya
sahaja, dia mesti memberitahu ahli tentang tanggungjawab mereka menghormati
rahsia yang telah dibincangkan. Dia juga harus menyedarkan ahli bahawa dia
tidak boleh menjamin kerahsiaan ahli lain dalam hal ini.”
Isu kerahsiaan ini sangat sensitif, oleh itu pemimpin perlu membincangkan
secara khusus kepada ahli tentang kerahsiaan yang perlu dititikberatkan dan
perlu jujur untuk tidak berlakunya kebocoran hal-hal peribadi, hal-hal yang
sensitif mengenai seseorang ahli dalam kelompok. Disarankan kepada pemimpin
setiap kali berakhir pertemuan ataupun sesi, pemimpin perlu memberi penegasan
atau penekanan terhadap ahli tentang prinsip kerahsiaan dalam kelompok.
Corey, Corey dan Callanan (1984). Bagi kaunselor walaupun aspek kerahsiaan ini
telah diberitahu pada awal kelompok, adalah menjadi tanggungjawab kaunselor
untuk mengingatkan ahli tentang prinsip kerahsiaan ini dari masa ke semasa.
5.4- Penilaian Kelompok
Isu yang ada dalam kaunseling kelompok ialah penilaian dan tindakan susulan
Pemimpin perlu memberi penekanan terhadap tindakan susulan selepas tamat sesi
kaunseling kelompok. Pemimpin boleh melaksanakan tindakan susulan ini selepas
sebulan atau tiga bulan selepas sesi tamat. Ini bertujuan untuk membincangkan
tentang kesan kaunseling kelompok dan hasil yang diperoleh dalam kelompok.
Melalui sesi susulan ini pemimpin dapat gambaran yang sebenar dan dapat melihat
sendiri sama ada ahli-ahli dapat menggunakan pengalaman dan pengajaran yang
dilalui dalam kelompok. Selain itu juga ahli dapat meluah serta berkongsi
pengalaman yang telah dilalui untuk sama-sama mendapat maklum balas dan
pengukuhan selepas meninggalkan sesi kelompok.
Tempoh ini ahli digalakkan membuat pendedahan kendiri yang mendalam. Namun
menjadi tanggungjawab pemimpin untuk mengajar dan menerangkan kaedah pendedahan
kendiri yang perlu dilakukan oleh ahli. Pemimpin jangan terlalu mendesak untuk
ahli mendedahkan hal-hal yang agak sulit sebelum mereka bersedia. Jika tidak
ahli akan menarik diri dengan perasaan malu kerana telah menceritakan lebih
dari yang sepatutnya.