1- PENGENALAN KAUNSELING
KELOMPOK
Kaunseling Kelompok adalah satu proses antara individu (interpersonal process)
yang melibatkan seorang kaunselor dengan beberapa orang ahli atau klien yang
meneroka diri serta situasi yang dialami. Jadi proses ini menekankan pemikiran
yang sedar, dari segi perasaan dan kelakuan. Tujuan kaunseling kelompok ini
adalah untuk memperbaiki tingkah laku klien yang tidak mengikut norma-norma
kehidupan yang tidak berkesan atau tidak mendatangkan faedah. Mengikut Corey
(1990), kaunseling kelompok bertujuan mencegah serta memulih . Hansen et. al
(1976), tujuan mencegah klien dari mengulangi tingkahlaku yang tidak diingini
daripada berterusan. Dapat mengatasi masalah yang dihadapi sebelum masalah
tersebut menjadi “serius”. Tujuan memulih pula adalah bagi klien yang sedang
mengalami masalah yang “serius” di mana kaunseling kelompok merupakan satu
proses intervensi untuk menukar kelakuan .
Kaunseling kelompok berorientasikan masalah yang spesifik, sama ada masalah itu
masalah pembelajaran, kerjaya, sosial atau emosi. Isi dan fokus perbincangan
dalam kelompok sebahagain besarnya ditentukan oleh klien yang terdiri daripada
individu yang normal (dapat berfungsi dengan sepenuhnya). Masalah-masalah yang
sering di bawa ke dalam kelompok ialah berkaitan dengan tugas perkembangan
dalam hidup seharian. Fungsi kaunseling kelompok ini serta klien adalah memberi
sokongan dan empati yang diperlukan untuk menimbulkan suasana yang selamat dan
menyembuh yang membawa kepada kepercayaan ahli berkongsi maklumat dan perasaan
ke arah menimbulkan celik akal, membaiki sikap serta perlakuan.
Teori–teori kaunseling kelompok adalah “guidelines” yang digunakan supaya proses
kaunseling yang dijalankan mendatangkan hasil yang baik atau efektif. Hansen et
al (1976), “ each theory proposes a process whereby the counselor and group can
participate in the process of changing the member’s behavior”.Dalam menjalankan
sesi, kaunselor perlulah mematuhi beberapa etika demi matlamat yang hendak
dicapai.
2- DEFINISI ETIKA KAUNSELING KELOMPOK
Etika berasal daripada perkataan Yunani, iaitu ethos yang bermaksud hukum, adat
resam, kebiasaan dan budi pekerti. Dengan kata lain etika merupakan sesuatu
yang berkaitan dengan peraturan masyarakat yang terdiri dari tatahukum,
tatasusila atau tatatertib masyarakat. Peraturan masyarakat biasa juga
dimaksudkan dengan tradisi, norma, kebiasaan atau adat, kod, nilai dan pantang
larang masyarakat. Peraturan masyarakat wujud di luar diri individu. Peraturan
itu juga bersifat konkrit serta ditetapkan oleh autoriti dalam sesebuah
masyarakat.
Menurut Kamus Dewan DBP (Edisi Ketiga, 2002), etika adalah prinsip atau nilai
akhlak yang menjadi pegangan seseorang atau dengan kata lain garis panduan yang
harus dipatuhi oleh seseorang semasa menjalankan tugas mereka.
Etika (dalam Abdul Rahman Md. Aroff, 1999) adalah disiplin falsafah yang
memberi perhatian khusus kepada penilaian kritikal terhadap norma dan piawai
yang mewajarkan kelakuan persaorangan serta antara individu. Durkheim (1961)
pula menyatakan bahawa etika terdiri daripada suatu sistem peraturan yang telah
ditentukan terlebih dahulu tentang bagaimana seseorang itu mesti bertindak
dalam situasi tertentu.
Etika adalah suatu tindakan yang menuntut kepatuhan terhadap piawaian
profesional serta undang-undang tentang apa yang dianggap betul dan yang salah.
Menurut Othman Mohamed (1999), kod etika merupakan tatasusila yang menentukan
peraturan kawalan diri terhadap praktis yang dijalankan oleh ahli sesuatu
profesion. Ianya merupakan standard asas bagi mencerminkan satu praktis
profesional.
Etika juga boleh membawa maksud yang berlainan tetapi saling berhubungan di antara satu dengan yang lain, iaitu ;
1) pola hidup am atau suatu cara hidup
2) set peraturan tingkah laku atau kod moral
3) tatacara mengenai cara hidup atau peraturan tingkah laku.
Daripada beberapa definisi di atas, dapatlah disimpulkan bahawa etika mengkaji tingkah laku manusia sama ada patut atau tidak manusia bertingkah laku (bagaimana seharusnya manusia bertingkah laku). Etika melibatkan peraturan masyarakat yang didasarkan norma-norma dan nilai-nilai yang baik di dalam sesebuah masyarakat itu. Oleh itu mematuhi kod etika dianggap penting bai membantu membuat keputusan dalam pengendalian kelompok.
3- KEPENTINGAN ETIKA KAUNSELING KELOMPOK
Setiap profesion yang melibatkan interaksi antara individu, memerlukan satu bentuk peraturan atau etika yang tersendiri bagi keperluan ahli-ahlinya. Begitu juga di dalam kaunseling kelompok, etika memainkan peranan yang penting sebagai satu garis panduan atau peraturan untuk menjaga profesionalisma kaunselor, kepentingan ahli kelompok serta perjalanan kelompok itu sendiri.
Pandangan yang diberikan oleh Swanson & Van Hoose (1977) yang menyatakan, “Standard or code of ethics are designed to protect the public and also to give guidelines to practitioner so that difficulty with the law may be avoided by the person who follow the profesion’s code”, menguatkan lagi fakta di atas.
Di antara-antara kepentingan-kepentingan itu ialah;
1) memberi perlindungan kepada ahli dalam profesion kaunseling daripada sebarang tindakan yang boleh menyebabkan “ public condemnation”( penghinaan masyarakat).
2) Memberi perlindungan kepada klien daripada sebarang tindakan atau layanan yang tidak profesional, atau kecuaian pihak kaunselor.
3) Sebagai pengukur kepada “self-regulation” dalam profesion itu sendiri.
4) Melindungi kaunselor daripada tindakan undang-undang sekiranya berlaku perkara-perkara yang tidak diingini bukan disebabkan oleh kesalahan kaunselor itu sendiri.
5) Mempertingkatkan keberkesanan diri melalui perkongsian pengetahuan dan kemahiran selaras dengan tuntutan dan kesedaran pihak klien berkaitan hak mereka dalam undang-undang.
4- ETIKA DALAM KAUNSELING KELOMPOK
4.1- Pandangan Tokoh-Tokoh:
Etika kelompok diolah mengikut keperluan sesuatu kelompok. Menurut Gazda (1977), adalah penting bagi ketua kelompok untuk mengolah satu model bagi mencapai perubahan tingkah laku. Tambah beliau lagi, bila sesi dirakamkan ahli patut diberitahu yang mereka boleh memberhentikan rakaman bila-bila masa jika mereka merasakan ini menyekat penglibatan mereka.
Bagi Feignberg (1977) pula, etika dalam kaunseling kelompok di mana ketua kelompok harus mempunyai latihan yang cukup dalam teori dan prosedur kelompok. Mereka juga harus sedar tentang kepelbagaian kesan yang mungkin timbul daripada prosedur dan proses kelompok.
Memberikan pandangannya, Bindrim (1977) menyatakan menjadi satu polisi yang wajar jika ketua meminta ahli menandatangani satu perjanjian yang memerlukan mereka bersetuju supaya tidak berbincang atau menulis tentang perkara-perkara yang berlaku dalam kelompok atau mendedahkan identiti ahli lain.
4.2- Kelayakan Pemimpin Kelompok:
Pemimpin kelompok mestilah mempunyai kelayakan profesional serta pengalaman yang diperlukan sesuai mengikut kelompok yang mereka pimpin. Pemimpin seharusnya seorang yang teraputik, cekap dan berkesan serta bersedia untuk dicabar dan diuji untuk mendapatkan kepercayaan.
Pemimpin kelompok juga mesti mempunyai fokus yang jelas terhadap tujuan dan matlamat kelompok, memilih kaedah-kaedah yang sesuai dan mampu mengendalikan aktiviti-aktiviti sepanjang perjalanan kelompok bagi mencapai tujuan dan matlamat sesuatu kelompok itu.
Pemimpin kelompok mestilah bijak mengendalikan kelompok. Seandainya terdapat sebarang bentuk pertentangan di dalam kelompok, contohnya desakan kelompok yang bercanggah dengan kehendak ahli-ahl lain, pemimpin perlulah peka dan bertindak bijak mengatasi isu tersebut. Seandainya ada ahli yang menjadi sasaran di dalam kelompok, pemimpin haruslah berani campur tangan.
Sebagai pemimpin kelompok, perlulah turut melakukan aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh ahli-ahli kelompok sebagai sokongan kepada kelompok untuk melakukan perkara itu dengan penuh yakin dan berani. Pemimpin juga harus faham tentang nilai-nilai dalam kelompok dan sedar bahawa nilai-nilai itu adalah selaras dengan etika profesionnya.
Etika dalam kaunseling kelompok juga melibatkan tanggungjawab yang dituntut daripada seorang ahli profesional seperti kaunselor atau pemimpin kepada kelompok yang spesifik seperti orang-orang yang memerlukan bantuan atau sesuatu khidmat dari pemimpin tersebut. Menjadi tanggungjawab pemimpin kelompok untuk memaklumkan kepada bakal ahli kelompok tentang prosedur dan matlamat kelompok, peraturan kelompok, teknik-teknik yang akan digunakan, harapan ahli, risiko psikologikal dan faktor lain yang boleh mempengaruhi mereka dalam membuat keputusan untuk melibatkan diri dengan kelompok.
Ahli kelompok seharusnya bersedia mentafsirkan pembelajaran mereka dalam kelompok dengan kehidupan seharian mereka dan menggunakannya dengan berkesan. Jesteru itu etika kaunseling kelompok berkait rapat dengan prinsip-prinsip akhlak dan moral yang perlu ada pada kaunselor semasa sesi kaunseling dijalankan. Semasa sesi perjanjian dijalankan satu perjanjian bertulis perlu dimenterai antara ahli dengan kaunselor. Prosedur ini penting kerana melindungi hak-hak ahli dan juga kaunselor.
Pemimpin kelompok seharusnya berusaha menggendalikan sesi kelompok dan seterusnya menilai kesan bagi kelompok pimpinannya. Proses susulan di dalam kelompok adalah penting kerana ia merupakan satu aspek akauntabiliti pemimpin kelompok. Melalui proses ini juga akan mendorong ahli kelompok untuk meneruskan tingkah laku positif yang mereka pelajari dalam kelompok setelah mengetahui adanya proses susulan setelah tamat sesi kelompok.
Akhirnya, pemimpin kelompok perlu berwaspada dengan tanda-tanda kelemahan psikologikal ahli kelompok seperti ahli menangis sepanjang masa berada di dalam kelompok, ahli seperti dalam keadaan celaru serta tertekan (berada dalam dunianya yang tersendiri), ahli berdiam diri sepanjang masa dalam kelompok dan tanda-tanda psikologikal lain. Ini menandakan penglibatan mereka di dalam kelompok harus di tamatkan.
Adalah tidak beretika mengamalkan kaunseling tanpa persediaan yang rapi American Group Psychotherapy Association dan Association for Specialists in Group Work (ASGW), menggariskan secara terperinci, piawaian terbaik bagi latihan yang diperlukan oleh kaunselor.
4.3- Kerahsiaan:
Kerahsiaan merupakan salah satu etika di dalam kelompok yang perlu dititikberatkan. Ahli-ahli perlu mendapat makluman tentang kerahsiaan di dalam kelompok, seawal waktu penstrukturan, semasa sesi berjalan dan apabila kelompok berakhir. Maklumat kelompok tidak akan diberitahu kepada mana-mana pihak melainkan setelah mendapat kebenaran dan persetujuan kelompok demi kebaikan kelompok sendiri.
Selain daripada itu identiti setiap ahli dalam kelompok hendaklah dirahsiakan dan menjadi tanggungjawab ke atas semua ahli (Kod Etika Kaunselor, 2005)
5- ISU-ISU DALAM KAUNSELING KELOMPOK
Proses kaunseling kelompok akan menjadi lebih bermakna dan sangat berkesan sekiranya proses tersebut dapat berjalan mengikut nilai, norma dan tingkah laku yang diterima dalam persekitaran masyarakat. Peterson (1970). Satu Sistem etika adalah menjadi panduan berdasarkan nilai-nilai yang biasa dipegang dan dihargai oleh masyarakat. Kaunseling kelompok juga dapat membantu ahli mencapai matlamat dan tujuan yang telah digariskan bersama dengan ahli kelompok dalam menentukan hala tuju dan matlamat yang hendak dicapai dalam persetujuan bersama.
Namun walaubagaimanapun terdapat halangan-halangan yang menyebabkan proses ini tidak dapat dilaksanakan seperti yang diharapkan. Ini adalah disebabkan isu-isu yang wujud dalam kaunseling kelompok yang boleh memberi kesan yang buruk atau pengalaman yang ngeri terhadap ahli sekaligus mencemar nilai kepercayaan dan penerimaan ahli terhadap kaunseling kelompok.
Selain itu juga isu-isu yang wujud dalam kaunseling kelompok akan memberi kesan yang lebih mendalam kerana bukan seorang ahli yang akan mengalami trauma atau tekanan tetapi ramai, kerana jumlah ahli dalam kelompok adalah lebih daripada satu. Maka sudah tentu akan memburukkan lagi pandangan masyarakat terhadap kaunseling kelompok serta menghilangkan nilai kepercayaan masyarakat terhadap kaunseling kelompok.
5.1- Pemimpin Kelompok:
Antara isu-isu yang terdapat dalam kelompok ialah isu melibatkan kepimpinan. Isu ini secara keseluruhannya melibatkan tahap kredibiliti yang dimiliki oleh pemimpin atau kaunselor yang bertindak sebagai ketua atau penggerak utama dalam proses kaunseling kelompok. Tidak kira apa jenis kelompok yang dipimpin, apa pendekatan yang digunakan atau apa gaya kepimpinan yang dilaksanakan dalam kaunseling kelompok, kejayaan kelompok sangat bergantung kepada pemimpin yang mengetuai kelompok tersebut.
Terdapat pelbagai permasalahan atau persoalan yang ditimbulkan tentang pemimipin kelompok sama ada dari segi latihan yang diperoleh, kelayakan yang dimiliki, kecekapan dan pengalaman pemimpin dalam menerajui sesuatu kelompok. Disamping itu juga isu kepimpinan ini mengukur tahap kemampuan pemimpin dalam menguasai masalah yang diketengahkan dalam kelompok.
Ini antara isu yang dikaitkan dengan pemimpin dalam kelompok. Adalah menjadi tanggungjawab pemimpin dalam memimpin ahli kelompok mencapai matlamat yang telah dipersetujui bersama tanpa wujud perkara yang bercanggah dengan nilai dan norma persekitaran masyarakat. Rosenbaum (1972). Bakal ketua perlu diberitahu tentang beberapa jenis kelompok dalam proses pengajaran yang formal dan perlu mendapat peluang untuk mengolah teori sendiri yang rasional dan praktikal.
5.2- Keahlian Kelompok:
Selain itu juga isu keahlian dalam kelompok merupakan sesuatu yang perlu dititi beratkan. Ini kerana kejayaan kelompok dalam mencapai matlamatnya sangat bergantung kepada ahli-ahli yang terlibat dalam sesuatu kelompok. Ini menunjukkan pemilihan ahli dalam kelompok mestilah mengikut klasifikasi jenis kelompok yang hendak dilaksanakan dan kaedah kepimpinan yang akan digunakan oleh pemimpin dalam mengendalikan kelompok tersebut.
Bagi menentukan pemilihan ahli kelompok adakah menjadi tanggungjawab pemimpin untuk membuat pemilihan ahli kelompok. Tidak kira apa jenis kelompok yang hendak ditubuhkan, pemilihan ahli mesti mengikut klasifikasi jenis kelompok yang hendak dikendalikan oleh pemimpin . The American Psychological Association (APA) dalam Guidelines for Psychologists Conducting Growth Group (1973) mencadangkan “Satu temu bual menapis peserta harus dijalankan oleh ketua kelompok sebelum individu diterima menjadi ahli. Adalah menjadi tanggungjawab ketua menapis dan menolak mereka yang memikirkan bahawa pengalaman kelompok tidak sesuai bagi mereka”. Cadangan ini dipersetujui oleh Gazda (1977) dan menambah, proses menapis patut diolah untuk memastikan peserta faham apa yang diharapkan daripada mereka dan menerima yang mungkin menikmati faedah yang lebih daripada pengalaman kelompok. Yalom (1975) menyatakan, jika penapisan pemilihan ahli kelompok tidak dijalankan dengan teliti, ahli itu boleh meninggalkan kelompok dengan perasaan hampa dan tawar hati. Yalom menerangkan bahawa lebih mudah mengenal pasti individu yang sesuai.
Maka jelas tanggungjawab terhadap ketua untuk memilih ahli bagi sesuatu penubuhan sesuatu kelompok bertujuan mengelakkan berlakunya konflik sesama ahli menyebabkan proses atau sesi tidak dapat dijalankan dan wujud gangguan-gangguan yang menyebabkan timbulnya isu dalam kelompok sekaligus menyekat proses kelompok. Ahli juga perlu dinyatakan kenapa dan mengapa pemilihan ahli perlu dilakukan sebelum kelompok ditubuhkan.
5.3- Kerahsiaan Kelompok:
Kerahsiaan merupakan faktor yang perlu dititikberatkan dan perlu diberi penjelasan yang terperinci atau mendalam kepada ahli kelompok semasa peringkat penstrukturan dilakukan. Ini kerana kerahsiaan dalam kaunseling kelompok sangat sukar untuk dikawal kerana jumlah ahli yang ramai, sudah tentunya pemimpin tidak dapat memberi jaminan terhadap kerahsiaan dalam pelaksanaan kelompok. Olsen (1971) menyatakan “Ketua kelompok boleh menjamin kerahsiaan untuk dirinya sahaja, dia mesti memberitahu ahli tentang tanggungjawab mereka menghormati rahsia yang telah dibincangkan. Dia juga harus menyedarkan ahli bahawa dia tidak boleh menjamin kerahsiaan ahli lain dalam hal ini.”
Isu kerahsiaan ini sangat sensitif, oleh itu pemimpin perlu membincangkan secara khusus kepada ahli tentang kerahsiaan yang perlu dititikberatkan dan perlu jujur untuk tidak berlakunya kebocoran hal-hal peribadi, hal-hal yang sensitif mengenai seseorang ahli dalam kelompok. Disarankan kepada pemimpin setiap kali berakhir pertemuan ataupun sesi, pemimpin perlu memberi penegasan atau penekanan terhadap ahli tentang prinsip kerahsiaan dalam kelompok.
Corey, Corey dan Callanan (1984). Bagi kaunselor walaupun aspek kerahsiaan ini telah diberitahu pada awal kelompok, adalah menjadi tanggungjawab kaunselor untuk mengingatkan ahli tentang prinsip kerahsiaan ini dari masa ke semasa.
5.4- Penilaian Kelompok
Isu yang ada dalam kaunseling kelompok ialah penilaian dan tindakan susulan Pemimpin perlu memberi penekanan terhadap tindakan susulan selepas tamat sesi kaunseling kelompok. Pemimpin boleh melaksanakan tindakan susulan ini selepas sebulan atau tiga bulan selepas sesi tamat. Ini bertujuan untuk membincangkan tentang kesan kaunseling kelompok dan hasil yang diperoleh dalam kelompok. Melalui sesi susulan ini pemimpin dapat gambaran yang sebenar dan dapat melihat sendiri sama ada ahli-ahli dapat menggunakan pengalaman dan pengajaran yang dilalui dalam kelompok. Selain itu juga ahli dapat meluah serta berkongsi pengalaman yang telah dilalui untuk sama-sama mendapat maklum balas dan pengukuhan selepas meninggalkan sesi kelompok.
Tempoh ini ahli digalakkan membuat pendedahan kendiri yang mendalam. Namun menjadi tanggungjawab pemimpin untuk mengajar dan menerangkan kaedah pendedahan kendiri yang perlu dilakukan oleh ahli. Pemimpin jangan terlalu mendesak untuk ahli mendedahkan hal-hal yang agak sulit sebelum mereka bersedia. Jika tidak ahli akan menarik diri dengan perasaan malu kerana telah menceritakan lebih dari yang sepatutnya.
Rujukan buku ada tak?
ReplyDelete