Sistem Ejaan Rumi mula diperkenalkan oleh pihak orientalis Inggeris
yang menyusun aturan ejaan Rumi berdasarkan kaedah transliterasi daripada ejaan
Jawi pada pertengahan abad ke-19. Sistem transliterasi huruf Jawi kepada huruf
Rumi menurut kaedah bahasa Inggeris yang diiktiraf sebagai sistem ejaan Rumi
bagi kegunaan rasmi dalam urusan Kerajaan Malaya pada masa itu antaranya
termasuklah Ejaan Rumi Negeri-Negeri Selat (dilaksanakan pada tahun 1878), Ejaan
Rumi Maxwell (dilaksanakan pada tahun 1882) dan Ejaan Rumi Swettenham (1881).
Ada dua jenis tulisan bagi bahasa Melayu, iaitu (i) Tulisan
Jawi, dan (ii) Tulisan Rumi. Tulisan Jawi berasaskan huruf Arab alif-ba-ta,
dan tulisan Rumi berasaskan huruf roman a-b-c. Aturan ejaan bagi tulisan
Jawi ini yang digunakan dalam bahasa Melayu sekarang ialah Sistem Ejaan Jawi
Yang Disempurnakan yang disahkan penggunaannya bermula pada tahun 1996. Aturan
ejaan bagi tulisan Rumi yang digunakan dalam bahasa Melayu mutakhir pula ialah
Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Malaysia (selanjutnya disebut SERBBM) yang
dirasmikan penggunaannya pada 16 Ogos 1972. Sistem ini merupakan Aturan Ejaan
Rumi Bersama Bagi Bahasa Melayu Di Malaysia dan Bahasa Indonesia, iaitu sistem
yang berasaskan aturan ejaan yang dirumuskan oleh Jawatankuasa Ejaan (Rumi)
Bersama pada tahun 1967.
Perkembangan dalam sistem ejaan adalah sebahagian
daripada perkembangan dalam bahasa Melayu di Tanah Melayu dan di Kepulauan Timur
Belanda. Keperluan kepada Sistem Ejaan Rumi menjadi penting pada awal abad
ke-20 kerana ejaan Jawi tidak dapat menggambarkan sistem bunyi bahasa Melayu
yang sebenar bagi mereka yang tidak dapat memahaminya. Ianya menjadi lebih
penting apabila bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar dalam sistem
sekolah rendah atau sekolah dasar. Oleh itu, penyusunan satu Sistem Ejaan Rumi
yang seragam dan lebih mudah diperlukan untuk menggantikan tulisan Jawi pada
masa itu. Bagaimanapun, pengkajian tentang sistem bunyi bahasa Melayu sering
dikelirukan dengan pengkajian tentang sistem tulisan dan sistem ejaan. Grafem-grafem
atau huruf-huruf yang berbagai-bagai yang digunakan sebagai lambang bagi
bunyi-bunyi dalam bahasa Melayu, termasuk bunyi-bunyi serapan atau pinjaman
daripada bahasa Sanskrit, Arab dan Parsi yang ketidakseragaman dalam ejaan.
Pada tahun 1902, Perancangan Ejaan Yang Pertama Di Tanah
Melayu dimulakan apabila kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu mengambil
inisiatif menubuhkan sebuah jawatankuasa ejaan yang diketuai oleh
R.J.Wilkinson, Nazir Sekolah-sekolah pada masa itu. Sistem ejaan yang dikenal
sebagai “Ejaan Wilkinson” itu dirumuskan
dengan nama Romanised Malay Spelling dan diterbitkan pada bulan Oktober
1904 dalam bentuk sebuah laporan. Ejaan Wilkinson digunakan di semua sekolah
umum.
Pakatan Belajar-Mengajar Bahasa yang ditubuhkan pada
tahun 1888 di Johor telah memainkan peranan untuk menggalakkan penggunaan
bahasa Melayu di sekolah dan dalam masyarakat. Usaha ini telah diteruskan
dengan penubuhan Maktab Guru Perempuan di Melaka pada tahun 1900. Institusi-institusi
inilah yang menjadi Pengasas Perancangan Penggunaan Bahasa Melayu Baku yang
kemudiannya diperkembang oleh Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) di Tanjong
Malim sejak tahun 1922. Perkembangan dan pemantapan sistem ejaan Rumi berlaku
seiring dengan perkembangan bahasa Melayu dalam pendidikan dalam zaman
penjajahan itu. Beberapa buah buku bahasa dalam tulisan Rumi dan tentang
tulisan Rumi yang memperluas penggunaan sistem Ejaan Sekolah yang berasaskan
Ejaan Wilkinson telah disusun dan diterbitkan oleh beberapa orang tokoh bahasa
dan pendidik di SITC.
Sistem ejaan Rumi yang terkenal sebelum penggunaan sistem
ejaan baru tahun 1972 ialah “Sistem Ejaan Rumi Za’ba” yang juga dihasilkan
daripada SITC. Sistem Ejaan Rumi Za’ba disusun dan diperkemas dan terdapat
dalam beberapa buah buku Pedoman Bahasa terbitan Pejabat Karang Mengarang SITC.
Selain daripada Sistem Ejaan Za’ba, dalam zaman
pendudukan Jepun tahun 1942-1945, terdapat penggunaan “Ejaan Fajar Asia”. Ianya
berbeza sedikit daripada Ejaan Za’ba di Tanah Melayu dan Ejaan Van Ophuyjsen di
Indonesia. Angkatan Sasterwan 50 yang ditubuhkan sekitar bulan Ogos 1950
kemudiannya menjadikan Ejaan Fajar Asia ini sebagai ejaan rasmi mereka. Tujuan
penubuhan angkatan ini adalah untuk menyedarkan masyarakat tentang perpaduan
kebangsaan dan menganggap kemerdekaan sebagai jambatan kearah keadilan dan
keamanan masyarakat. Selain daripada itu, terdapat juga “ Ejaan Bebas” yang
berupa ejaan Rumi tanpa sistem apa-apa, atau sistem yang menyatukan ciri-ciri
ejaan daripada sistem-sistem yang ada, termasuk daripada sistem ejaan di
Indonesia. Ejaan Bebas digunakan dengan agak meluas dalam urusan bukan rasmi
dan dalam beberapa penerbitan akhbar, majalah dan buku.
Penggunaan pelbagai sistem atau aturan ejaan Rumi di Tanah
Melayu dan Singapura menunjukkan adanya kekurangan dalam Sistem Ejaan Za’ba dan ketidakpuasan pengguna terhadap
sistem itu. Pada tahun 1956, hasil daripada rumusan Kongres Bahasa dan
Persuratan Melayu ke-3 yang diadakan di Singapura, wujud pula “ Sistem Ejaan
Kongres”. Perubahan-perubahan seperti ini juga berlaku di Indonesia. Dengan ini
dapat dikatakan bahawa kedua-dua buah negara mengalami perubahan sistem ejaan
dari semasa ke semasa. Perbezaan ejaan yang wujud di Indonesia adalah menurut
sistem ejaan cara Belanda sementara di Tanah Melayu, lebih kepada cara Inggeris.
Perbezaan ejaan yang wujud ini telah mendapat perhatian ahli-ahli bahasa di
kedua-dua buah negara untuk mengkaji dan menyemak semula sistem ejaan yang
digunakan (Ahmad Hafiz Wahy et, 2005). Secara tidak langsung proses penyatuan
dan penyamaan sistem ejaan kedua-dua negara dapat dilakukan.
Beberapa pembaharuan yang agak radikal telah diusahakan
oleh ahli-ahli bahasa berdasarkan rumusan-rumusan Kongres Bahasa dan Persuratan
Melayu ke-3. Usaha-usaha ini mendapat perhatian kerajaan dan pada tahun 1957,
sebuah Jawatankuasa Ejaan telah dibentuk untuk menimbangkan ketetapan-ketetapan
yang telah diambil dalam kongres tersebut berkenaan dengan ejaan Rumi dan
penyatuannya dengan ejaan bahasa Indonesia.
Soal ejaan melangkah ke peringkat antarabangsa apabila
satu perjanjian persahabatan di antara Persekutuan Tanah Melayu dengan Republik
Indonesia tercapai pada 17 April 1959. Kemudian, satu rundingan telah diadakan
di Jakarta diantara Jawatankuasa Ejaan Rumi Persekutuan Tanah Melayu yang
diketuai oleh Allayarham Syed Nasir bin Ismail dengan Panitian Pelaksanaan
Kerjasama Bahasa Melayu-Bahasa Indonesia yang dipimpin oleh Dr. Slamet Muljana
(Ahmad Hafiz Wahy et, 2005). Hasil daripada pertemuan ini, wujudlah pula “Ejaan
Malindo” akibat pergolakan politik perkembangan selanjutnya tidak berlaku
sehinggalah pada tahun 1966 apabila rundingan kali ke-2 telah diadakan untuk
mengkaji dan memperbaiki Ejaan Malindo.
Pada 23 Mei 1972, satu Kenyataan Bersama telah
ditandatangani oleh Menteri Pelajaran Malaysia pada masa itu, iaitu Allahyarham
Tun Hussin Onn Dan Menteri Pendidikan Dan Kebudayaan Republik Indonesia, Bapa
Mahsuri. Kenyataan Bersama tersebut mengandungi persetujuan untuk melaksanakan
asas yang telah dipersetujui oleh para ahli daripada kedua-dua negara tentang
Ejaan Baru dan Ejaan Yang Disempurnakan. Puncak daripada segala kegiatan
penyempurnaan sistem Ejaan Rumi ialah perumusan-perumusan dan pelaksanaan
bersama Sistem Ejaan Baru bagi bahasa Melayu dan bahasa Indonesia pada 16 Ogos
1972. Ejaan Baru Bersama ini dirujuk sebagai Ejaan Rumi Bersama (ERB) yang
diguna hingga kini.
**ASIGNMENT FONOLOGI SEMESTER 5**