Gambar : Masjid Kampus Sultan Azlan Syah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
DALAM kehidupan dunia moden, manusia sering diancam pelbagai perasaan seperti gelisah, murung, tidak tenang, dan rasa tidak pernah cukup dengan harta yang ada, menyebabkan perasaan tamak, haloba dan rakus menguasai jiwa. Hal inilah menyebabkan jiwa seseorang tidak tenang dan mengalami kegelisahan.
Jiwa dapat didefinisikan sebagai, nyawa, roh yang ada dalam tubuh manusia. Jiwa juga meliputi batin iaitu perasaan, fikiran, cita-cita dan lain-lain yang terkandung dalam hati manusia. Sesekali manusia diduga dengan ujian ketakutan dan kegelisahan. Hanya kekuatan jiwa dapat mengatasi segala.
Berkaitan dengan dugaan dan ujian terhadap jiwa. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan sesungguhnya Kami akan berikan cahaya kepada mu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan . Dan berikan berita gembira kepada orang yang sabar. (al-Baqarah:155).
Jika jiwa tidak tenang seluruh badan akan mengalami gangguan. Antaranya; kemurungan atau gelisah adalah penyakit biologi atau jiwa yang dihadapi seseorang akan mempengaruhi pemikiran, perasaan dan tindakan daripada anggota badan seperti perasaan marah, rasa terancam dan terdesak. Hal inilah yang menyebabkan seseorang itu bertindak di luar dugaan dan di luar pertimbangan.
Tokoh-tokoh yang banyak membicarakan tentang psikologi Islam ialah; al-Farabi, Ibnu Sina, Ibnu Rusyd, ulama al-Kalam. Begitu juga dengan Imam al-Ghazali banyak membicarakan tentang hubungan roh, jiwa dan jasad. Beliau memperkenalkan teori keseimbangan di antara bahagian-bahagian jiwa dan teori kekendirian.
Dalam al-Quran terdapat istilah yang berkaitan jiwa seperti nafs yang bermaksud kemanusiaan disebut sebanyak 367 kali, qalb yang bermaksud emosi disebut sebanyak 144 kali, aql bermaksud akal atau pemikiran disebut sebanyak 149 kali dan roh disebut sebanyak 29 kali. Jelaslah hati dan jiwa diberi penekanan oleh Allah SWT untuk kita memahaminya.
Melalui keimanan dan keseimbangan keempat-empat unsur ini akan dapat mengawal jiwa manusia ke arah ketenangan. Bagi mendapatkan ketenangan jiwa dan mengurangkan kegelisahan seseorang itu mestilah beriman kepada Allah SAW, bertaubat, takut, zuhud, sabar, ikhlas, reda, syukur, istiqamah, tawaduk dan takwa serta membaca al-Quran dan mengingati Allah SWT.
Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai manusia telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi pengajaran daripada Tuhan kamu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit yang ada dalam dada kamu (jiwa) dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman. (Yunus: 57)
Oleh itu, sebagai manusia juga hamba Allah SWT untuk mencari ketenangan dan kebahagiaan adalah melalui al-Quran yang banyak mengandungi pengajaran. Melalui al-Quran terdapat petunjuk dan juga rahmat bagi mereka yang menghadapi pelbagai penyakit termasuk kegelisahan jiwa.
Sebagai golongan orang yang beriman, kita semestinya mendekatkan diri dengan amalan membaca, memahami maksudnya dan menghayati al-Quran dalam kehidupan. Petunjuk dan juga rahmat banyak terkandung dalam al-Quran bagi mendapatkan ketenangan jiwa ketika kegelisahan.
Imam Syafi'e menjelaskan jiwa akan mulia dengan hidup apa yang ada. Beliau berkata; "Aku bunuh sifat-sifat tamakku, maka tenanglah jiwaku. Seterusnya jiwaku akan hina kalau aku tetap tamak. Aku hidupkan rasa puas yang telah lama mati, kerana dengan menghidupkannya harga diri dapat dijaga. Jika sifat rakus bersarang, di hati seorang hamba, maka ia akan menjadi orang yang hina ."
Banyak faktor dan sebab yang menyebabkan keresahan hati dan fikiran manusia pada hakikatnya terjadi disebabkan beberapa faktor antaranya; banyak melakukan dosa, berpaling daripada peringatan Allah SWT, melakukan syirik kepada Allah SWT baik dengan perkataan, perbuatan atau hati dan hidup sentiasa diselubungi perasaan putus asa disebabkan iman yang lemah.
Seseorang yang melakukan dosa akan mencetuskan keresahan dalam hidupnya. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Yang menyebabkan timbulnya huru-hara dalam hati sanubari (jiwa) manusia adalah dosa-dosa yang dilakukan manusia. (riwayat Muslim).
Hanya agama dan keimanan dapat mengelakkan keresahan, rasa rendah diri, kesepian, kegelisahan, kemurungan, rasa bosan, rasa muram, sedih, pilu, , cemas, susah hati dan jiwa tidak tenteram serta tidak berupaya mengatasi persoalan yang dihadapi.
Segala gejala kejiwaan tersebut sering kali mempengaruhi jasmani dan rohani dan menimbulkan gangguan kepada keadaan fizikal tubuh.
Daripada Anas bin Malik ra., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak akan lurus keimanan seseorang hamba, sehingga lurus hatinya, dan tidak akan lurus hatinya, sehingga lurus lidahnya." (Riwayat Imam Ahmad).
OLEH : UTUSAN MALAYSIA
No comments:
Post a Comment