Thursday, 11 October 2012

PERINGKAT PROSES KAUNSELING



             Peringkat permulaan adalah “Membina Hubungan”, dalam fasa ini kaunselor akan bertemu klien kali pertama dan memulakan sesi. Ia lebih kepada sesi perkenalan dan mengenali klien dengan lebih dekat. Memberikan klien kepercayaan, membuatkan klien selesa dan tidak malu untuk menceritakan masalah beliau. Pada fasa ini, kaunselor perlu memainkan peranan untuk merangsang klien berkongsi dan melanjutkan sesi temubual itu dengan soalan-soalan yang khusus. Apabila klien sudah mula bersedia, kaunselor perlu melakukan penstrukturan supaya klien perlu jelas dan faham dengan matlamat sesi tersebut. Antaranya menyatakan peranan dan tanggungjawab kaunselor dan klien, etika kerahsiaan, tempoh masa, peraturan sesi kaunseling dan bayaran, jika berkaitan. Dalam fasa ini kaunselor perlu membina hubungan baik dengan klien, tunjukkan minat, empati dan kefahaman melalui parafrasa.

               Peringkat kedua pula adalah “Menerokai dan Analisis Masalah”, lebih mendorong kepada soalan terbuka bertujuan membimbing arah perbincangan dan kaunselor perlu mendengar secara aktif. Kaunselor perlu menerokai masalah sebenar klien dan membuat penganalisaan terhadap setiap respon klien apabila menjawab soalan. Di sini teknik memparafrasa, refleksi perasaan dan beri galakan kepada klien supaya bercakap dan meluahkan isi hati. Sekiranya kaunselor tidak pasti atau ingin semak kefahaman maka, kaunselor perlu meminta penjelasan semula agar tidak berlaku kesilapan dalam catatan kaunselor.
Peringkat ketiga adalah “Mengenalpasti Masalah”, iaitu setelah mendengar segala masalah klien, kaunselor perlu mengenalpasti masalah yang menjadi punca utama klien tersebut. Kaunselor perlu mentafsir masalah dan cuba berbincang dengan klien. Sebagai kaunselor tidak boleh meletakkan nilai pada klien, jangan ada bias dan meletakkan kesalahan seratus peratus kepada klien. Kaunselor perlu membantu klien dalam menangani masalah mereka.

                Seterusnya peringkat keempat adalah “Membincangkan Strategi Penyelesaian, Alternatif, Kesan”. Pada fasa ini kaunselor bersama-sama klien berbincang dan mengatur strategi agar membolehkan klien menangani atau mengatasi masalah beliau. Kaunselor berperanan membantu klien menyemak kebarangkalian potensi kejayaan dan halangan dihadapi bakal dalam melaksanakan rancangannya. Kaunselor juga boleh memberikan panduan tentang langkah yang dianggap baik untuk mengatasi masalah yang dibawa oleh klien. Kaunselor boleh sertakan contoh dan bincangkan dengan menyentuh kemungkinan cadangan kaunselor dapat dilaksanakan beserta kekuatan dan kelemahan cadangan itu mengikut panduan klien dan kaunselor.

                  Peringkat kelima adalah “Tindakan”, kaunselor dan klien membuat pilihan alternatif mana yang terbaik bagi menangani atau menyelesaikan masalah tersebut. Kaunselor tidak boleh memberikan keputusan kepada klien, mereka perlu membuat keputusan sendiri. Kaunselor hanya membantu dan menanyakan kemungkinan apakah strategi terbaik bagi klien untuk menangani masalahnya. Kata putus oleh klien atau keputusan yang dibuat oleh klien Salah satu peranan penting yang dilaksanakan oleh kaunselor dalam mengambil tindakan ialah merujukkan klien kepada pakar, tempat, atau bahan maklumat yang diperlukan bagi membantu mereka menangani masalah.

                   Peringkat keenam adalah “Penamatan Sesi”, pada fasa ini sebelum menamatkan sesi kaunselor perlu membuat rumusan daripada keseluruhan sesi tersebut. Di dalam kaunseling, penamatan dibuat pada dua cara iaitu penamatan bagi setiap sesi kaunseling yang dijalankan pada akhir sesi dan seterusnya terdapat beberapa sesi lagi klien perlu bertemu dengan kaunselor. Cara kedua adalah penamatan terus serta memberhentikan khidmat dan hubungan kaunseling antara klien dan kaunselor mengikut persetujuan bersama serta jika klien sudah benar-benar pulih.

                    Peringkat terakhir adalah “Susulan”, fasa terakhir ini kaunselor perlu membuat susulan terhadap klien itu. Menghubungi klien untuk temujanji sesi berikutnya ataupun memantau tindakan klien. Khidmat susulan dilakukan bagi memonitor kemajuan klien dalam konteks keupayaannya menguruskan permasalahan yang dihadapinya. Antaranya adalah mendengar kemajuan yang telah dibuat oleh klien dan memberikan galakan atau bimbingan baru untuk meningkatkan progres diri klien. Mengatur atau mengubah strategi baru dalam bentuk intervensi bagi membantu klien. Seterusnya menilai strategi yang telah dilaksanakan oleh klien dan akhir sekali, memberikan khidmat lanjutan seperti khidmat rujukan sekiranya dirasakan perlu.



Rujukan:
1. http://kaunselingindividu. blogspot.com/ , Universiti Pertanian Malaysia, UPM Serdang (1995)
2. Maznah Baba dan Zainal Madon.(2005), Kaunseling Individu. PTS Professional.




No comments:

Post a Comment